Saturday, February 14, 2009

Seni Dalam Islam

Islam tidak pernah dikenali sebagai agama pemisah antara duniawi dan ukhrawi, antara politik dan pemerintahan, antara urusan peribadi dan lapangan kemasyarakatan. Sifat-sifatnya sebagai ad-din memberikan ruang lingkup yang luas di dalam pelbagai bidang terutamanya budaya dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syariat. Jauh sekali dari tanggapan beberapa golongan yang melihat seni sebagai serpihan yang terpisah dari ajaran agama. Islam telah menjawab pewrsoalan itu dengan memancarkan artifak berupa seni kaligrafi dan seni hias yang mengagumkan. Malahan tempat beribadah bagi menyatakan dan melafazkan kebesaran Allah S.W.T. secara berjemaah juga dihias dengan kesenian yang melambangkan rasa qudus yang tidak terhingga.

Sifatnya sebagai agama yang syumul membenarkan imaginasi dan kreativiti yang sememangnya ada dalam pemikiran umat. Seniman-seniman Islam menggunakan kekuatan imaginasi dan kreativiti tersebut sebagai anugerah dan amanah Allah S.W.T. yang perlu dijaga, disubur dan disemai dalam ruang dan batasan yang dibenarkan oleh syari'at.
Seni sebagai manifestasi yang mengandungi perlembagaan, hasrat yang bermakna dalam pendedahan kepelbagaian citarasa manusia, kesedihan yang berlarutan dan kasih sayang yang berpanjangan. Ia bukan benda mati yang terhimpun dalam muzium dan galeri sekadar memberi penikmatan visual semata-mata. Hasil-hasil kesenian Islam merupakan objek hidup yang digunakan dalam kehidupan harian muslim. Istilah seni gunaan dan seni halus tidak boleh dipisahkan dalam pengertian kesenian Islam. Ia bukan sahaja halus tetapi juga digunakan. Permaidani tidak sekadar dihampar, tetapi digunakan dalam penyataan sujud kepada Allah S.W.T. di masjid-masjid dan di rumah-rumah.

Manusia memerlukan seni dan seni tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan, malahan seni yang luar biasa dan mengkagumkan adalah seni yang berhubung erat dengan perihal keperluan kerohanian manusia. Seni juga merupakan pancaran dari pengucapan dan sentuhan jiwa seni seniman yang tersembunyi disebalik pemikiran dan daya imaginasi yang terserlah dalam kepekaannya terhadap alam sekitar. Islam membenarkan seni yang berlegar dalam ruang pengucapan keindahan yang mencetuskan kebenaran.

Tradisi kesenian barat jarang berlaku jujur dalam menggarap seni keindahan. Keindahan yang dipancarkan dalam seni barat tidak pernah terpisah dalam kegiatan penciptaan imej. Manusia dan perwatakkannya dipersembahkan dengan sewenang-wenang sebagai slogan manusia menguasai alam dan manusia sebagai pusat aktiviti.

Islam tidak menolak bahawa manusia sebagai aspek penting dalam kehidupan manusia sebagaimana dijelaskan dalam Al-Quran bahawa manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi. Manusia dipertanggungjawabkan untuk mengurus dan mentadbir dunia dengan undang-undang-Nya, namun begitu Islam mempertikaikan manusia dijadikan imej penciptaan . Islam menjadikan kemanusiaan ( bukan manusia ) dan aktiviti yang dilakukan oleh manusia sebagai sumber dan bahan pengkaryaan.

Perbezaan antara kesenian Islam dan kesenian barat terletak pada dasar yang berpaksikan tauhid. Sungguhpun pada mulanya kesenian Barat-Eropah mempunyai ikatan yang kuat dengan gereja, manakala agamanya selalu dipersembahkan melalui seni dan kesenian bertujuan untuk mempertebalkan keagamaan, namun pergolakkan yang berlaku di Eropah dalam zaman Renaissance menunjukkan setiap bidang kehidupan telah mulai melepaskan ikatannya daripada pengaruh gereja. Pemisahan antara agama dan dunia yang dikenali sebagai sekularisme mempengaruhi kegiatan kesenian sehingga meninggalkan kesan yang besar dalam perkembangan kesenian di Eropah.